Wednesday, 10 April 2013

Usaha atas amal , bukan cari mal , dakwah la


Nabi SAW telah bawa satu pendekatan iaitu mengajak manusia supaya yakin dengan asbab iman dan amal dan menafikan asbab ‘mal’ (kebendaan). Nabi SAW juga telah berusaha supaya umat manusia meninggalkan usaha masing-masing dan pergi kepada usaha kenabian iaitu dakwah (mengajak orang kepada Allah), tazkiah (penyucian jiwa) dan taklim (menuntut ilmu supaya tahu apa yang Allah mahu pada setiap masa dan bagaimana melakukannya dengan cara Nabi SAW).
            Malangnya, pada zaman ini umat Islam telah salah faham mengenai tugas sebenar mereka. Mereka menganggap kerja kita sebagai kerja kita. Orang yang menyapu sampah akan berkata, “Saya seorang penyapu sampah.” Orang yang mengajar di universiti akan berkata, “Saya seorang pensyarah.” Begitu juga orang yang bermain politik akan berkata, “Saya seorang pejuang demokrasi.” Umat Islam tidak lagi menganggap kerja kenabian sebagai kerja dia. Pendek kata, dia tidak anggap bahawa dia ialah umat Nabi yang dipertanggungjawabkan untuk menyeru manusia kepada Allah, membersihkan hati supaya dekat dengan Allah dan mendidik manusia supaya tahu apa perintah Allah. Inilah sebenarnya kerja kita.
            Pekerjaan dunia hanyalah satu keperluan, bukannya maksud. Kita bekerja untuk mencari rezeki dan mudah-mudahan dengan rezeki itu, kita dapat gunakan ke jalan yang Allah sukai. Pekerjaan dunia itu tidak sedikitpun dapat menandingi ketinggian kerja-kerja kenabian. Seorang Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Presiden tidak ada nilai langsung jika dibandingkan dengan kerja kenabian. Disebabkan itulah ada ulama yang melarang kita melabelkan Nabi SAW sebagai ‘ahli politik’ atau ‘ketua perang’ atau ‘ahli perniagaan’ atau ‘nasionalis’ atau mana-mana jawatan yang lebih rendah daripada title seorang Nabi. Nabi adalah Nabi. Tidak boleh merendahkan taraf kenabian itu dengan label-label seperti itu walaupun kita rasa jawatan itu sangat gah dan dipandang tinggi.
            Begitulah juga, seorang yang melibatkan dirinya dalam kerja-kerja nubuwwah dengan bersungguh-sungguh, ikhlas berserta fikir risau untuk menyelamatkan manusia daripada azab, tarafnya lebih tinggi daripada segala pekerjaan. Antara semua kerja-kerja Nabi, kerja dakwah merupakan amalan yang paling kuat kesannya. Pertama sekali, Allah berjanji akan menguatkan iman orang yang buat dakwah itu sendiri. Melalui dakwah, orang Islam akan menjadi baik dan Allah akan memberi taufik kepada orang kafir untuk memeluk Islam. Tapi, kalau orang Islam malas hendak buat dakwah, maka orang kafir akan melihat daripada sudut negatif orang Islam. Dengan akhlak yang buruk dan urusan harian yang tidak mencerminkan keindahan Islam. Akhirnya, kita menjadi penyebab tertutupnya pintu taufik kepada mereka. Kita berdosa kerana mereka tidak dapat mengenali Islam dan salah sangka terhadap Islam. Apabila kita ajak mereka masuk Islam, mereka akan jawab, “Kamu pergi nasihat orang Islam dululah! Saya tengok mereka sama saja. Main judi, maki hamun, menipu, minum todi sama macam kami. Buat apa kami perlu masuk Islam?”
            Itulah pentingnya usaha dakwah di kalangan orang Islam. Orang Islam lebih-lebih lagi perlu didakwahkan kerana merekalah ‘duta’ atau ‘maskot’ kepada agama Islam. Jika akhlak umat Islam baik, orang kafir akan datang sendiri dan mengucap kalimah syahadah. Perkara ini telah terbukti sepanjang pengalaman penulis dan rakan-rakan lain melibatkan diri dalam usaha ini. Saya pun baru belajar-belajar mengenali usaha kenabian. Saya tidak layak untuk menjadi Nabi. Tapi, saya berusaha untuk belajar-belajar tiru bagaimana Nabi buat dakwah.
            Melalui dakwah, Allah akan patahkan pinggang musuh-musuh Islam dan syaitan akan lari daripada orang yang buat dakwah. Begitu besarnya ganjaran untuk orang yang buat dakwah. Jika seseorang mendapat hidayat hasil tunjuk ajar kita, maka setiap pahala amalannya sama ada fardhu atau sunat akan masuk ke dalam akaun kita tanpa berkurang sedikit pun.
            Seorang daie lebih tinggi nilainya daripada kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Pada suatu ketika, Nabi Sulaiman berdoa supaya Allah memberikan kepadanya kekuasaan yang mana tiada lagi kerajaan seperti itu selepasnya. Allah terima doa Nabi Sulaiman a.s. Untuk menerima doa Nabi Sulaiman a.s. itu, Allah terangkan dalam al-Quran sepanjang satu baris setengah sahaja.
            Permohonan ini berbeza dengan permintaan Nabi Musa a.s. yang mahukan seorang teman dalam dakwahnya kerana Nabi Musa a.s. mempunyai sedikit kesukaran dalam pertuturannya. Maka, Nabi Musa a.s. telah memohon kepada Allah. Untuk dijadikan teman kepada Nabi Musa a.s., Allah SWT melantik Nabi Harun a.s. dahulu sebagai Nabi, barulah beliau boleh turut serta bersama-sama dalam misi mendakwahi Firauan si laknat. Allah telah sebutkan mengenai pelantikan ini di dalam al-Quran sepanjang satu muka setengah, baru Allah terima Nabi Harun a.s. untuk buat dakwah.
            Untuk memberikan kerajaan hebat, Allah firmankan sepanjang satu baris setengah tetapi untuk melantik menjadi daie, Allah kisahkan sehingga satu muka setengah! Ulama menjelaskan di sini bahawa kerja sebagai seorang daie itu lebih tinggi nilainya berbanding memiliki sebuah kerajaan yang hebat.[Maulana Ehsan, 2012]
            Selain itu, jika kita rajin mengkaji struktur ayat-ayat di dalam al-Quran, kita akan mendapati bahawa dua pertiga ayat-ayat al-Quran menyentuh soal dakwah [Maulana Sulaiman Khatani]. Dalam banyak-banyak Nabi, kisah dakwah paling panjang ialah dakwah Nabi Musa terhadap Bani Israel. Banyak sekali kisah Bani Israel yang dikisahkan di dalam al-Quran kerana umat akhir zaman ini, perangainya sama sahaja seperti Bani Israel. Banyak soal.
            Fikir-fikirkan.

sumber : khairy tajudin

1 comment:

aku hargai sape yang komen...haha